Sunday, October 12, 2008

Hari Raya, Children's Day and Graduation Ceremony

Ujian, ujian dan lebih banyak ujian ...

Tertekan betul rasanya. Mana tidak, ujian bagi test 4 baru berlalu dan ramai pelajar tidak hadir ketika ujian perlu diadakan. Saya kali ini tidak kuasa kejar-kejar pelajar untuk mengambil ujian. Jadi saya letakkan markah kosong sahaja bagi mereka yang tidak berusaha untuk menduduki ujian tersebut. Sayang sungguh para pelajar yang ambil ringan pendidikan mereka. Saya sedikit hari sudah memberitahu menengah 3 Iman dan Itqan tentang pentingnya sikap positif. Malangnya ada ramai pelajar yang masih sambil lewa.

Persembahan bagi sambutan hari raya, hari kanak-kanak dan hari terakhir menegah 5 telah diadakan pada Jumaat lalu. Secara keseluruhan memang cemerlang persembahan para guru. Kami adakan sketsa diselang-selikan dengan lagu Suara Takbir (P Ramlee), Suasana Hari Raya (Anuar & Elina), Suatu Hari Di Hari Raya (M Nasir), Salam Perpisahan (Brothers) dan Senandung Hidup (J Mizan). Sayangnya latihan hanya bermula pada hari Selasa. Daftar lagu telah ditetapkan hanya pada hari Rabu.Hari Khamis kami masih mengambil anggota baru. Ramai yang terkejut melihat saya main conga. Sebenarnya di PraU dahulu, saya pernah main rebana dalam kumpulan dikir barat. Jadi kaedah asas main percussions ada. Cuma saya ke youtube untuk mempelajari cara memainkan conga. Sehari dua, sudah boleh. Alhamdulillah. Terima kasih para guru! Tidak lupa para pelajar yang memberi peluang. Ada yang minta persembahan sekali lagi. Insya Allah, pada masa hadapan : p

Petang pula ada majlis menengah 5 bersama guru. Pada mulanya, Cikgu Zul minta bantuan untuk menghiaskan musolla. Setelah berbincang pada hari sebelumnya, berbekalkan bajet $100, saya mula melakarkan apa yang hendak dilakukan. Saya hanya sempat beli reben pada hari Khamis tersebut, sebelum pulang ke sekolah untuk mengadakan latihan bagi sambutan esok.

Tiba hari Jumaat, setelah persembahan, saya dan Cikgu Zul pun ke Bedok untuk mengambil kuih-muih yang telah ditempah bagi majlis petang nanti. Rancangannya selepas itu, kami hendak ke Mustafa untuk membeli barang-barang bagi majlis petang. Sayangnya, saya telah berjanji dengan menengah 4 Iman untuk mengadakan sambutan hari Raya kecil-kecil. Semua pelajar telah membawa kuih. Disebabkan tidak sampai hati, kami pun terus memecut pulang ke sekolah dari Bedok. Sampai sahaja, saya pun lari ke kelas. Rupanya semua pelajar sudah menunggu. Kasihan mereka. Kami pun adakan sambutan. Kemudian, datang pelajar 3 Iman. Kami pun menjemput mereka sama. Apa lagi. Kecoh kelas! Sekejap lagi, pelajar 4 Ihsan beri pizza. Terima kasih banyak! Sebelum sempat baca doa makan, pizza dah tinggal kotak. Saya pesan agar semua pelajar berkongsi. Nampaknya semua pelajar dapat menjamah makanan. Pada akhir waktu, saya terus pecut ke bilik guru.

Saya mula hiaskan musolla dengan reben dan ketupat-ketupat yang telah dianyam oleh para pelajar. Saya hanya menggunakan sekitar $20 sahaja! Tapi saya pastikan saya buat yang terbaik. Saya ingat perbincangan dengan Cikgu Zul. Kami bersetuju langkah untuk mengadakan jamuan bagi menengah 5 amat berbaloi. Banyak yang mereka sudah curahkan pada sekolah. Kami berdua pula tidak mahukan majlis ala kadar. Maklumlah, sikap memberi yang terbaik itu hendak kami paparkan. Kami mahu pelajar sedar pentingnya memberikan yang terbaik. Jika guru sanggup, mengapa tidak mereka. Semoga para pelajar menengah 5 semua akan berjaya dalam hidup dan menjadi orang yang beriman. Amin.

Petang itu, setelah jamuan, saya pun kemas-kemas kemudian ada sesi petik gambar bersama guru-guru yang buat persembahan nasyid. Masya Allah. Gambar-gambarnya sungguh kelakar. Terima kasih kawan-kawan kerana membuat hari Jumaat itu penuh memori.

No comments: